JOM MENGENALI ILMU QIRAAT

Ilmu Qiraat adalah ilmu yang sangat berkait rapat dengan al-Quran.

Al Quran merupakan wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS sebagai pentunjuk dan hidayah buat umat islam. Al Quran merupakan yang menjadi rujukan sepanjang zaman.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu(di Syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya”. 

[Riwayat Abu Daud]

APAKAH ITU QIRAAT

Qiraat (قراءات) merupakan jamak bagi perkataan qiraah (قراءة) .
Qiraah merupakan kata terbitan bagi perkataan (قرأ).
Ini bermakna Qiraat membawa maksud bacaan-bacaan.

Definisi ilmu Qiraat:-

  • Menurut Imam Ibn al-Jazariy, ilmu Qiraat membawa maksud “suatu ilmu yang membincangkan tentang tatacara menyebut kalimah- kalimah al- Quran dan perselisihan- perselisihan yang ada padanya dengan menyandarkannya kepada orang yang menyampaikan tatacara tersebut.
  • Ini bermakna, ianya meliputi kaedah bacaan al- Quran yang disandarkan kepada perawi dan seterusnya bersambung sanad bacaan tersebut terus kepada Rasulullah.

Sejarah Perkembangan Ilmu Qiraat:-

  • Ilmu berkaitan dengan Qiraat ini bermula sejak daripada zaman Rasulullah SAW. Baginda merupakan sumber rujukan utama dan menjadi panduan oleh para sahabat untuk setiap permasalahan yang timbul.
  • Kemudian, setelah kewafatan Rasulullah SAW ada sebahagian daripada para sahabat yang mengambil bacaan secara langsung daripada Nabi Muhammad SAW dan ada juga yang mengambil bacaan al- Quran melalui perantaraan. Diantara para sahabat yang mengambil secara terus daripada Rasulullah SAW ialah Ubay bin Ka’ab, Zaid bin Thabit al- Ansari, Abdullah bin Mas’ud dan selainnya. Hasil kegigihan dan ketekunan baginda Rasulullah SAW bersama para sahabat dalam menjaga kesucian al- Quran, maka tersebarlah syiar islam sejajar ke seluruh pelusuk bumi.

  • Seterusnya, beralih pula ke zaman tabi’in yang mana muncul ramai ilmuan dan tokoh agama yang menjadi rujukan kepada masyarakat ketika itu. seperti Ubaid bin Umairat dan Mujahid bin Jabir al- Makki dari Mekah, Al- Mughirah bin Abi Shihab al- Makhzumi dari Syam, Abu Abdul Rahman al- Sulami dari Kufah, Al- Hasan al- Basri dari Basrah dan Muaz bin al- Harith dari Madinah. Kemudian muncul pula qurra’ yang mempelopori ilmu qiraat secara lebih terperinci dan mereka merupakan pakar dalam bidang tersebut.

  • Abdullah bin Kathir dari Mekah, Abdullah bin Amir dari Syam, Asim bin Abi Najud dari Kufah, Abu Amru bin al- Ala’ dari Basrah dan Abu Jaafar Yazid bin Qa’qa’ dari Madinah. Setiap bacaan yang diambil daripada mereka perlu dinasabkan dengan nama qurra ini.

Faedah mempelajari ilmu qiraat

  • Memelihara bacaan al- Quran daripada sebarang kesalahan
  • Menjadi sumber rujukan ketika para ulama mengeluarkan hukum

Hikmah al- Quran diturunkan dalam 7 huruf (sab’ah ahruf)

  • Untuk memberi kemudahan dan kelapangan kepada umat islam ketika membaca al- Quran. Ini kerana bangsa arab juga mempunyai bahasa dan lahjahnya tersendiri.

Kini, pendedahan tentang ilmu berkaitan al Quran umumnya dan berkaitan dengan qiraat khasnya telah tersebar dengan luas di bumi Malaysia. Masyarakat juga cakna dengan ilmu sebegini. Akan tetapi ianya terhad kepada Riwayat Hafs an A’sim sahaja kerana riwayat ini merupakan antara riwayat yang banyak digunakan oleh penduduk di seluruh dunia jika dibandingkan dengan riwayat yang lain seperti riwayat Abu Amru, Nafi’ dan sebagainya.